Tubuh pasukan khas banteras penyelewengan diesel, minyak

Kamarul Zaman (depan) pada sidang akhbar berhubung kejayaan Polis Johor menumpaskan penyeludupan diesel bersubsidi di jeti Sungai Tiram Kota Tinggi pada Selasa.
Kamarul Zaman (depan) pada sidang akhbar berhubung kejayaan Polis Johor menumpaskan penyeludupan diesel bersubsidi di jeti Sungai Tiram Kota Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah pasukan khas ditubuhkan Polis Johor bagi membanteras penyelewengan diesel dan minyak masak bersubsidi.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan khas terbabit dianggotai pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh daerah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Polis Johor menyahut saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani agar PDRM membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam isu penyelewengan minyak masak bersubsidi dan diesel.

"Justeru satu pasukan khas ditubuhkan dan sudah pun ada mesyuarat pada Isnin. Penyertaan pegawai dari LHDN dan SPRM ini cukup penting kerana tindakan dapat dilakukan secara bersepadu dan memastikan tiada unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejayaan Polis Johor menumpaskan penyeludupan diesel bersubsidi di jeti Sungai Tiram di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

Menurut Kamarul Zaman, pasukan khas yang ditubuhkan akan dipantau rapi bagi memastikan tujuan penubuhannya dapat dicapai.

"Pasukan khas ini akan melaksanakan mesyuarat seminggu sekali dan saya sendiri akan memantaunya.

"Polis Johor memandang serius penyelewengan diesel dan minyak masak bersubsidi kerana melibatkan kerugian cukup besar kepada negara," katanya.

Pada 4 Julai lalu, Acryl Sani memaklumkan PDRM sedia bekerjasama dengan KPDNHEP melalui Op Bersepadu bagi membendung ketirisan minyak masak bersubsidi.

Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta pihak penguat kuasa KPDNHEP, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'menggempur' dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku.

Langkah itu dibuat bagi memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini bagi mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.