Dua jawatankuasa pastikan pembangunan Tok Bali berjalan lancar

AHMAD
AHMAD
A
A
A

KOTA BHARU - Dua jawatankuasa terlibat secara langsung dalam perancangan jangka panjang dan jangka pendek bagi memastikan pembangunan Tok Bali berjalan lancar.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, jawatankuasa berkenaan ialah Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali yang dipengerusikan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan serta Jawatankuasa Teknikal.

Menurut beliau, perancangan pembangunan Tok Bali itu dilaksanakan melalui Pewartaan Kawasan Khas Tok Bali yang terlibat secara langsung dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Pelaksanaan jangka pendek ialah Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali sebagai hub perikanan serta destinasi ekopelancongan laut utama Pantai Timur.

"Kita juga dalam perancangan melaksanakan naik taraf Sungai Semerak," katanya ketika menjawab soalan lisan Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak-Pas) mengenai perancangan jangka panjang dan sederhana kerajaan bagi memastikan pembangunan Tok Bali pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.

Selain itu, katanya, pembangunan Tok Bali memerlukan sokongan petrokimia, sektor perikanan dan struktur besi dalam perancangan jangka panjang.

"Menaik taraf jalan yang menghubungi Lebuhraya Utama Tengah (CSR) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) juga antara perancangan jangka panjang dalam membangunkan Tok Bali," katanya.

Tok Bali disasarkan menjadi pusat pelabuhan baru di Kelantan dan diyakini dapat mencapai sasaran 2.3 bilion serta dapat menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan.