Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan setiap minggu

Annuar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Parlimen pada Isnin.
Annuar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu di Parlimen pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi membiayai Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang akan diperluas kepada 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula bulan ini sehingga hujung tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan program itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat susulan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“PJKM ini akan diadakan setiap minggu bermula bulan ini berbanding dua kali seminggu sebelum ini bagi memastikan rakyat mampu membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan.

“Melalui program ini juga, rakyat berpeluang membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Ini dapat meringankan beban kos sara hidup bulanan, lebih-lebih lagi dari segi barangan dapur dan keperluan,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, tawaran harga murah lebih 20 peratus itu tidak melibatkan semua produk kerana tumpuan utama adalah barangan keperluan asas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) turut memaklumkan, setakat Ahad(17 Julai) sebanyak 521,995 pemeriksaan telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak RM52 juta nilai rampasan dibuat.

Jelasnya, bagi menangani isu minyak masak pula, sebanyak 9,493 pemeriksaan telah diadakan sepanjang tempoh 1 hingga 15 Julai lalu dengan nilai sitaan untuk minyak masak kelapa sawit berjumlah RM2.1 juta.