Kelantan rekod 32.69 hektar pembalakan haram pada 2020, 2021

Ahmad
Ahmad
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri merekodkan pembalakan haram di dua kawasan membabitkan keluasan hutan 32.69 hektar pada tahun 2020 dan 2021.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kawasan itu melibatkan aktiviti pembalakan haram dengan keluasan 10.84 hektar pada 2020 manakala 21.85 hektar lagi pada 2021.

Katanya, dalam tempoh berkenaan direkodkan berlaku kecurian ataupun pembalakan haram dan pihak kerajaan melakukan tindakan dari sudut pemantauan dalaman.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini,” katanya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan melaksanakan usaha-usaha untuk menangani masalah pembalakan haram.

“Antara kaedah adalah pemantauan kawasan perhutanan secara berkala melalui dron dan melaksanakan tindakan tegas dengan pendakwaan di mahkamah.

“Pendakwaan dilaksanakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.