Masalah bantut di Malaysia membimbangkan

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa isu kanak-kanak bantut akibat kekurangan pemakanan yang kronik membimbangkan sedangkan negara kini mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan ketika ini menjadi lebih teruk apabila ada keluarga berpendapatan rendah yang terjejas akibat Covid-19 tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli makanan berkhasiat buat anak-anak mereka.

Katanya, kemiskinan dan bantut adalah dua faktor yang boleh menjejaskan perkembangan minda kanak-kanak termasuk fungsi kognitif.

"Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC), keselamatan makanan dan kesihatan kanak-kanak adalah tanggungjawab negara.

Kerajaan perlu membangunkan pendekatan holistik terhadap pemakanan dan tidak hanya melihat dari sektor kesihatan sahaja.

"Program pemberian makanan sekolah boleh membantu kanak-kanak kekurangan zat untuk pulih daripada bantut seperti program pemakanan sekolah di India yang membantu kanak-kanak pulih daripada penurunan pertumbuhan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohideen berkata, kerajaan juga harus meletakkan dasar untuk meningkatkan akses keluarga kepada sumber makanan yang berkhasiat dan berpatutan.

"Satu kempen komunikasi massa di seluruh negara mengenai bantut dan pemakanan perlu dilaksanakan dengan segera memandangkan pengetahuan penduduk Malaysia tentang kesihatan adalah rendah dan masalah terbantut tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Pada ketika ini, terdapat banyak kempen awam diadakan selain pendidikan pemakanan untuk ibu mengandung dan menyusu dijalankan di klinik serta hospital.

"Selain itu, pendidikan mengenai amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak diintegrasikan ke dalam program kesihatan awam di klinik. Ini termasuk penyebaran bahan bertulis, ceramah untuk ibu-ibu selepas bersalin, seminar dan juga demonstrasi masakan," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, capaiannya terhad disebabkan penyertaan awam yang rendah.

Jelasnya, kempen pemakanan semasa tidak menjelaskan masalah bantut, kesan terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak, sebaliknya hanya menumpukan kepada obesiti dan penyakit tidak berjangkit," katanya.

Sehubungan itu, Mohideen mendesak pihak berkuasa memastikan makanan berkhasiat mampu untuk diperolehi selain menjalankan penyelidikan untuk menjadikan setiap kanak-kanak diberikan perhatian.

"Kerajaan juga perlu menganjur dan menyokong perubahan dasar yang mesra kanak-kanak, menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada setiap kanak-kanak dan menjalankan kempen untuk mengubah minda dan persepsi mengenai bantut.

"Selain itu, pihak berkuasa juga perlu memperkasakan golongan muda untuk menjadi ejen perubahan dengan melengkapkan mereka pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan," katanya.

Katanya lagi, CAP menyokong langkah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi membanteras pelbagai masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.

Bantut merupakan kegagalan tumbesaran yang biasa berlaku pada kanak-kanak kecil disebabkan pemakanan serta jangkitan yang lemah dan bukannya faktor genetik.

Kegagalan pertumbuhan ini berkait rapat dengan kemiskinan yang menyekat akses kepada kuantiti dan kualiti makanan yang mencukupi, air bersih dan sanitasi serta penjagaan kesihatan utama yang berkualiti.

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2016, kadar bantut di Malaysia adalah kira-kira 21 peratus iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada keseluruhan kelaziman tujuh peratus tahun itu di negara berpendapatan sederhana yang mana Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Menurut kajian itu lagi, bilangan kanak-kanak bantut di bawah umur lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.