[VIDEO] Pencuci kapal didakwa bunuh isteri, bayi

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang pencuci kapal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayi lelakinya pada 4 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, hanya menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Amir didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, di sebuah rumah di Jalan Dewasa Kampung Bakar Batu.

Sementara bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef, dua bulan lapan hari, di lokasi sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 11.30 pagi dan 11.40 pagi, pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika didapati bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Danial Munir.

Muhammad Qaiyyum tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh selain memohon tarikh sebutan kedua kes itu.

"Tarikh sebutan baharu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan DNA (asid deoksiribonukleik).

"Pihak pendakwaan juga memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai di sini, bagi menyiasat keadaan mentalnya," katanya.

Mohd Zulhilmi kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk menghantar tertuduh ke Hospital Permai pada Isnin, bagi menjalankan pemeriksaan tahap mentalnya.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 18 Ogos depan bagi mendapatkan laporan penuh bedah siasat, DNA serta keputusan ujian psikiatri tertuduh.

Pada 4 Julai lalu, suspek ditahan polis di Permas Jaya kira-kira jam 2.45 petang selepas videonya menunggang motosikal dalam keadaan bogel tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian bunuh melibatkan seorang ibu berusia 26 tahun dan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan.