Suspek bunuh isteri, bayi ditahan dalam keadaan bogel

Tangkap layar rakaman video memaparkan suspek dalam keadaan bogel menunggang motosikal dipercayai membunuh isteri dan anaknya.
Tangkap layar rakaman video memaparkan suspek dalam keadaan bogel menunggang motosikal dipercayai membunuh isteri dan anaknya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki membunuh isteri dan bayi lelakinya di sebuah rumah di kawasan Bakar Batu di sini pada Isnin, telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan polis dalam keadaan berbogel di sekitar Permas Jaya, di sini kira-kira jam 2.45 petang Isnin.

Katanya, tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan polis berhubung kejadian bunuh melibatkan seorang ibu berusia 26 tahun dan seorang bayi lelaki.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian bunuh itu dipercayai berlaku pada pukul 12.30 tengah hari, di sebuah rumah di kawasan Bakar Batu.

"Suspek ditahan dalam keadaan bogel menunggang motosikal seperti yang tular di media sosial. Polis turut merampas sebilah pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah sewaktu suspek ditahan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 013-4472909 untuk membantu siasatan polis.

Sebelum itu, tular beberapa rakaman video menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal di sekitar bandar raya ini dalam keadaan berbogel dipercayai suspek.