Bekalan makanan Kelantan mencukupi jika berlaku krisis

(Gambar hiasan) Bekalan makanan di Kelantan mencukupi jika berlaku krisis dalam negara berikutan beberapa persediaan sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.(Gambar kecil) -Tuan Mohd Saripudin
(Gambar hiasan) Bekalan makanan di Kelantan mencukupi jika berlaku krisis dalam negara berikutan beberapa persediaan sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.(Gambar kecil) -Tuan Mohd Saripudin
A
A
A

KOTA BHARU - Bekalan makanan di Kelantan mencukupi jika berlaku krisis dalam negara berikutan beberapa persediaan sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara persediaan berkenaan ialah menubuhkan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Nazran Muhammmad pada 11 Mei lalu.

Katanya, jawatankuasa itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta wakil dari institusi pendidikan tinggi bagi memperhalusi isu-isu berkaitan dan langkah penyelesaian yang sesuai menangani isu berbangkit.

“Berdasarkan data Status Kadar Sara Diri (SSL) 2020 menunjukkan Kelantan berada dalam landasan yang tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara.

“Status SSL 2020 bagi sumber makanan bagi beras adalah 208 peratus, kelapa (196 peratus), daging kambing, bebiri (190 peratus), buah (117 peratus), sayur (98 poeratus) dan ikan (93 peratus),” katanya ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil beberapa langkah bagi menjamin sekuriti bekalan makanan di negeri ini sentiasa mencukupi serta turut mengadakan perbincangan dengan Thailand bagi persediaan menghadapi krisis makanan.

“Antara langkah yang dilakukan kerajaan negeri adalah menyediakan peruntukan khas RM10 juta melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan bagi pelaksanaan projek ternakan ayam pedaging tertutup semi automatik dan penternakan lembu secara integrasi di ladang sawit.

“Kempen penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan seperti Program Dapur Hijau, Kempen Seed Community-Kempen Penghasilan dan Penyimpanan benih tanaman turut dipergiatkan,” katanya.