Tahniah kepada MPP PKR baharu: Syed Saddiq

Syed Saddiq (tiga dari kanan) ketika hadir pada Kongres Nasional PKR 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.
Syed Saddiq (tiga dari kanan) ketika hadir pada Kongres Nasional PKR 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu.

“Tahniah kepada semua rakan-rakan yang telah dipilih menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang baru,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Beliau yang turut hadir pada Kongres Nasional PKR 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad turut mengucapkan selamat berkhidmat kepada pemimpin baharu yang menerajui PKR bagi penggal berikutnya.

“Bersama-sama membina semula negara!,” katanya.

Pada Ahad, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum secara rasmi sebagai Presiden PKR bagi sesi 2022-2025 pada Kongres Nasional ke-16 PKR selepas menang tanpa bertanding jawatan nombor satu itu dalam Pemilihan PKR 2022.

Keputusan kepimpinan baharu PKR diumum Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Saiful Izham Ramli.

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli pula diumum secara rasmi dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut diumum adalah senarai 20 barisan baharu Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih oleh 2,665 perwakilan pada Kongres Nasional PKR pada Sabtu.