Peniaga rugi lebih RM1 juta diperdaya 'pegawai LHDN'

Seorang peniaga wanita kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN - Gambar hiasan (Gambar kecil: Kamarul)
Seorang peniaga wanita kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN - Gambar hiasan (Gambar kecil: Kamarul)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga wanita kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerima aduan daripada mangsa yang berusia 50 tahun pada Sabtu.

"Sindiket Macau Scam terbabit membuat panggilan pada Mei lalu dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN. Suspek menakutkan mangsa dengan memberitahu wanita itu mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.

"Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek telah mengikut arahan dengan membuat pembayaran melalui 23 transaksi menerusi mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun berbeza.

"Mangsa kemudian menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun bank berkenaan kepada suspek.

"Pada 16 Julai lalu, pengadu telah membuat semakan akaun bank miliknya yang butirannya diserahkan kepada suspek mendapati, tujuh transaksi berjumlah RM122,300 telah dipindahkan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak yang pengadu tidak kenali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa kemudian mengesyaki telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada 16 Julai dan memaklumkan keseluruhan kerugian berjumlah RM1,022,300.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan siasatan juga akan meliputi penglibatan 'keldai akaun' sekiranya terlibat serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.

Pihak polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya panggilan melalui telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

Beliau menambah, orang ramai boleh gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) iaitu CCID Scam Response Centre, CCID Infoline, semak mule dan juga Facebook JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat jenayah komersial.