PBM mahu bertemu Menteri Pengangkutan

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Shiau Yoon)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Shiau Yoon)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) mahu bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung peningkatan kes kemalangan maut ketika ini.

Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon berkata, pihaknya akan membangkitkan isu itu secara bertulis selain memohon satu perjumpaan bagi menyuarakan pandangan dan kerisauan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu segera melaksanakan strategi komprehensif termasuk mengenakan tindakan lebih tegas dalam usaha mengurangkan kes nahas jalan raya.

“Sudah sampai masanya tindakan sedemikian diambil, apatah lagi dua tragedi kemalangan yang berlaku baru-baru ini meragut sembilan nyawa yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Pemandu lori treler yang terlibat dilaporkan mempunyai 13 saman kesalahan lalu lintas, termasuk tiga kemalangan jalan raya masing-masing pada 2012, 2020 dan 2021.

“Adalah amat merisaukan dan mengejutkan apabila seorang pemandu yang mempunyai begitu banyak kesalahan trafik masih dibenarkan berada di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar Shiau Yoon, peraturan had laju pemanduan mesti dikuatkuasakan dengan tegas selain hukuman yang berat terhadap pesalah.

Menurutnya, kempen kesedaran juga perlu lebih kerap dilaksanakan bermula daripada peringkat usia kanak-kanak lagi.

“Hakikatnya sebahagian besar tragedi di jalan raya di negara kita adalah disebabkan kecuaian manusia sendiri seperti mana dilaporkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Ia termasuk memandu laju, bertukar lorong tanpa memberi lampu isyarat, melanggar lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Pengguna yang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Justeru, PBM akan membangkitkan isu ini secara bertulis kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, selain memohon satu perjumpaan dengan beliau untuk menyuarakan pandangan dan kerisauan kami,” jelasnya.