PRK DUN Rantau: SPR nafi mahu kurang momentum BN

Azhar Azizan Harun
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan sengaja melewatkan hari penamaan calon PRK DUN Rantau untuk mengurangkan momentum kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR memandang serius dakwaan dibuat calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan itu.

Katanya, sebagai sebuah institusi Perlembagaan yang ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pilihan raya.

"SPR ingin menekankan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dipatuhi. Tarikh-tarikh penting bagi PRK DUN Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian setelah mengambil kira semua faktor yang berkenaan.

"SPR ingin memberi jaminan bahawa semua tindakan SPR tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik atau kecenderungan fahaman politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mohamad dalam ceramah di Rantau mendakwa 'kelambatan' tarikh penamaan calon oleh SPR adalah bagi menyekat momentum kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Menurut Azhar, SPR telah mengambil kira semua jangka masa ditetapkan oleh perundangan dan membuat mesyuarat khas pada 6 Mac bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK DUN Rantau.

"SPR telah menerima perakuan dari Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan keputusan PRK DUN Rantau pada 26 Februari. Selaras dengan Perkara LVI (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR dikehendaki mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut berlaku.

"Jangka masa 60 hari itu akan berakhir pada 26 April. Bagi menguruskan perjalanan pilihan raya, SPR dikehendaki mengeluarkan writ pilihan raya tidak kurang empat hari dan tidak lebih 10 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan oleh SPR dengan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia