'Senarai hitam jika fitnah parti, kejar jawatan'

Fuziah (kiri), Fahmi
Fuziah (kiri), Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad mencadangkan supaya mana-mana ahli parti itu yang bersikap terlalu mengejar jawatan hingga menggugat kekuatan parti, disenarai hitam daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dalam ucapan pembubaran Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR 2018-2021 berkata, ahli yang hanya mengejar jawatan akan melemahkan parti dan wajar dikenakan tindakan tegas oleh biro disiplin.

"Bila nak bertanding menjadi calon (PRU) bersungguh-sungguh tanda tangan surat aku janji, tapi bila parti minta bayar semula wang deposit... susah nak bayar.

Kita senarai hitam sahaja, yang tabur fitnah pun kita senarai hitam juga.

"Kita julang calon yang betul-betul mahu menangkan PKR, bukannya nak menangkan diri sendiri.

Perjuangan PKR memerlukan komitmen dan fahaman tinggi terhadap keadilan serta reformasi,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut menggesa biro disiplin parti lebih tegas dengan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana ahli yang cuba melemahkan kekuatan parti seperti menabur fitnah.

Beliau berkata, ada segelintir anggota apabila tidak berpuas hati dengan keputusan parti, sanggup membuat laporan polis atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selain mencetuskan provokasi atau mengadu domba menerusi media sosial.

"Tindakan ini ibarat memberi leher kepada musuh, beri peluru kepada musuh untuk melemahkan parti.

Justeru, biro disiplin perlu lebih aktif kenakan tindakan kepada mereka yang sengaja membenarkan parti diserang,” katanya. - Bernama