Perak FC, TFC II kongsi satu mata di Ipoh

 Pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (tiga, kiri) merembat bola ke gawang gol lawan ketika bertemu TFC II dalam saingan Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Perak pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Perak FC, Luciano Guaycochea (tiga, kiri) merembat bola ke gawang gol lawan ketika bertemu TFC II dalam saingan Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Perak pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PERAK FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Premier di Stadium Perak pada Sabtu.

Minit awal perlawanan kedua-dua pasukan berjaya mencipta peluang membuka tirai jaringan namun tiada sebarang gerakan berbahaya ke arah kubu lawan.

Begitupun peluang skuad TFC II untuk berada di depan hadir pada minit ke-10 menerusi Wan Mohamad Fazli yang berjaya memperdaya penjaga gol Perak FC, Zamir Selamat namun cubaan itu sekadar menggegarkan palang gol.

Dua minit berselang, giliran Perak FC pula mencemaskan gawang pelawat menerusi percubaan Hakimi Mat Isa, namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol lawan, Syed Muhammad Nasrulhaq.

Tidak cukup dengan itu, pasukan tuan terus mengasak kubu pertahanan TFC II menerusi percubaan Firdaus Saiyadi dan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin, bagaimanapun Syed Muhammad Nasrulhaq bertindak cemerlang memastikan gawang tidak mudah dibolosi.

Selepas setengah jam perlawanan, Perak FC berpeluang menamatkan kebuntuan gol namun Luciano Guaycochea mempersia-siakan peluang kem tuan rumah.

Minit ke-38, pemain Perak FC, Sunday Afolabi dilayangkan kad kuning pertama perlawanan apabila mengasari Wan Mohamad Fazli.

Dua minit berselang, giliran pemain TFC II pula dilayangkan kad kuning apabila Wan Mohamad Fazli bertindak menarik jersi pemain tuan rumah.

Perlawanan separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kekal terikat 0-0 tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Perak FC membuat dua pertukaran mengeluarkan Indra Putra dan Firdaus Saiyadi menggantikan dengan penyerang import, Stipe Plazibat serta Khairul Asyraf Mustaffa.

Perlawanan kian rancak dengan kedua-dua pasukan mencari peluang untuk mencipta jaringan.

Di sebalik keghairahan itu, dua pemain, Wan Zack Haikal dan Argzim Redzovic masing-masing dari Perak dan TFC II dilayangkan kad kuning.

Pada minit ke-59, Perak FC membuat satu lagi pertukaran mengeluarkan Hakimi Mat Isa dan memasukkan Feeris Danial Mat Nasir ikuti pasukan Terengganu FC II yang membuat dua pertukaran serentak.

Perlawanan kian panas apabila pengendali pasukan, Yusri Che lah turut dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil.

Kad merah pula dilayangkan pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria ke atas salah seorang pegawai pasukan tuan rumah, Vijay Babu Subramaniam.

Tempoh 10 minit terakhir perlawanan memperlihatkan kedua-dua pasukan terus tertekan dalam mencari jaringan dan masing-masing akur dengan berkongsi satu mata apabila perlawanan tamat tanpa sebarang jaringan di Ipoh.