Nelayan darat jumpa bom mortar

Bom mortar ditemui seorang lelaki ketika mengemas di bilik stor milik abang iparnya di Malim Nawar, Kampar. - Foto Ihsan pembaca
Bom mortar ditemui seorang lelaki ketika mengemas di bilik stor milik abang iparnya di Malim Nawar, Kampar. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

KAMPAR - Seorang nelayan darat gempar apabila menemui dua bom mortar di sebuah rumah tinggal di Malim Nawar di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, bom berkenaan ditemui ketika dia sedang mengemas pinggan mangkuk dan barang lama di stor belakang rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemeriksaan mendapati dua bom jenis 60mm berukuran 0.3 meter itu berada di bawah rak kayu.

"Menurut pengadu, rumah tersebut merupakan milik arwah abang iparnya yang merupakan seorang pesara tentera dan tidak berpenghuni sejak 10 tahun lalu.

"Sepasukan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi kejadian," katanya di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri berkata, pemeriksaan mendapati bom berkenaan dibuat pada tahun 1972 bagi tujuan latihan.

"Bom tersebut bagaimanapun telah dilancarkan dan tidak merbahaya selain tiada bahan letupan di dalamnya.

"Dua bom berkenaan dibawa ke IPK bagi tujuan latihan," katanya.