Debat pertama lima calon PM Britain

(Dari kiri) Badenoch, Mordaunt, Sunak, Truss dan Tugendhat ketika sesi debat pencalonan untuk kepimpinan Parti Konservatif pada Jumaat. - Foto Agensi
(Dari kiri) Badenoch, Mordaunt, Sunak, Truss dan Tugendhat ketika sesi debat pencalonan untuk kepimpinan Parti Konservatif pada Jumaat. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Lima calon Parti Konservatif yang bersaing untuk merebut jawatan Perdana Menteri Britain ‘bertelagah’ tentang isu cukai dan kejujuran dalam politik pada sesi debat pertama berlangsung selama 90 minit yang disiarkan pada Jumaat.

Bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak yang meraih undi sokongan tertinggi pada dua pusingan pengundian di Parlimen dengan lantang menentang ‘janji’ beberapa pesaingnya yang berikrar untuk mengurangkan cukai serta-merta.

“Ia bukan jalan keluar terhadap inflasi yang sedang melanda negara ini. Janji tersebut adalah seperti kisah dongeng,” kata Sunak kepada pesaing terdekatnya, Liz Truss ketika wanita itu mengumumkan rancangan pengurangan cukai dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketika ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar di Parlimen, Tom Tugendhat turut disebut sebagai pencabar utama walaupun Sunak dan Truss menjadi dua calon pilihan untuk menggantikan Boris Johnson.

“Adakah anda berkhidmat untuk rakyat United Kingdom (UK) atau karier anda sendiri? Ini adalah soalan sebenar pada malam ini,” kata Tugendhat yang turut mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Keputusan tinjauan dilakukan oleh syarikat penyelidikan pasaran Opinium mendapati 36 peratus penonton melihat Tugendhat sebagai ‘pembahas terbaik’ disusuli Sunak (24 peratus), Penny Mordaunt dan Kemi Badenoch (12 peratus) serta Truss (tujuh peratus).

Sehingga kini, masih belum ada calon yang dilihat sebagai pengganti berpotensi kepada Johnson yang meletak jawatan pada minggu lalu selepas imejnya tercalar dek siri skandal memalukan.

Pada Khamis, Peguam Negara, Suella Braverman tersingkir ketika pusingan kedua dan proses pengundian seterusnya akan disambung semula pada Isnin sehingga dua calon akhir dipilih pada Khamis ini. - Agensi