PM Britain Boris Johnson letak jawatan

Boris Johnson
Boris Johnson
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meletak jawatan pada Khamis selepas kerajaan pimpinannya dikejutkan dengan beberapa siri peletakan jawatan sejak dua hari lalu.

Johnson berkata, jadual pertandingan untuk memilih pemimpin baharu akan diumumkan minggu depan.

"Sekarang sudah jelas kehendak Parti Konservatif iaitu perlu ada pemimpin dan perdana menteri baharu, dan saya bersetuju...proses memilih pemimpin baharu itu harus bermula sekarang dan jadualnya akan diumumkan minggu depan,” kata Johnson lapor Agensi Anadolu.

Namun, katanya beliau terus memegang jawatan itu sehingga pemimpin baharu dipilih dan akan melantik anggota kabinet baharu pada Khamis.

Beliau berkata, berjuta-juta orang mengundi parti itu pada 2019 dan berterima kasih atas mandat yang luar biasa itu serta majoriti terbesar diperoleh sejak 1987.

"Itu sebab saya berjuang bermati-matian beberapa hari kebelakangan ini untuk meneruskan mandat itu bukan hanya kerana saya mahu berbuat demikian tetapi saya merasakan ia adalah tugas saya.

"Saya kesal kerana tidak berjaya dalam hujah saya dan sudah tentu ia amat menyakitkan apabila tidak dapat menyaksikan dan meneruskan idea dan projek," katanya.

Peletakan jawatan Johnson dibuat selepas 59 ahli Parlimen berundur daripada kerajaannya dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Johnson terpalit dengan skandal yang tidak berkesudahan selama berbulan-bulan.

Beliau juga menjadi perdana menteri pertama Britain dalam sejarah yang didenda polis kerana melanggar undang-undang dengan menghadiri parti pada 2020 semasa sekatan pergerakan Covid-19.

Walaupun terselamat daripada undi tidak percaya baru-baru ini, tetapi lebih 40 peratus anggota partinya mahu beliau berundur.

Skandal terbaharunya melibatkan pelantikan Christopher Pincher sebagai timbalan ketua whip walaupun terdapat aduan mengenai salah laku seksual terhadap Ahli Parlimen itu. - Bernama