Harga tiket feri ke Pulau Langkawi kekal

Kebanyakan pelancong menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Langkawi. Gambar kecil: Azman
Kebanyakan pelancong menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Langkawi. Gambar kecil: Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Harga tiket feri ke Pulau Langkawi masih kekal biarpun berlaku kenaikan kos operasi yang terpaksa ditanggung syarikat operator.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasruddin bagaimanapun berkata, kerajaan negeri ada menerima permohonan daripada syarikat operator yang mengemukakan cadangan untuk menaikkan harga tiket beberapa tahun lalu.

Menurutnya, sebarang kenaikan harga tiket feri bergantung kepada kelulusan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bukannya diputuskan oleh kerajaan negeri.

“Kita menunggu keputusan daripada Kementerian Pengangkutan, memang ada permohonan daripada syarikat operator beberapa tahun lalu sejak tahun 2018 lagi.

“Semuanya bergantung kepada keputusan MOT, mereka yang akan membuat kajian sekiranya perlu naikkan harga tiket atau berapa banyak kenaikan. Kalau MOT tidak membenarkan (kenaikan), kerajaan negeri tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) 2021 peringkat negeri Kedah pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, permohonan pada 2018 itu telah pun dikemukakan kepada MOT namun kementerian ketika itu memaklumkan perkara berkenaan ditangguhkan berikutan negara dilanda pandemik Covid-19.

“MOT terpaksa tangguhkan dahulu sebab rakyat dalam keadaan yang sukar setelah pandemik melanda. Mungkin ia akan ambil masa beberapa tahun akan datang. Kali terakhir harga tiket naik adalah pada tahun 2008, ketika itu bawah pemerintahan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan aduan syarikat operator sebelum ini berkaitan kos alat ganti, bahan api dan operasi keseluruhan meningkat termasuk kos pekerja, ada kewajaran untuk MOT mempertimbangkan permohonan mereka.

“Kita di peringkat negeri akan meletakkan beberapa syarat ketat sekiranya kenaikan harga tiket feri tidak dapat dielak.

“Antaranya perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna hendaklah yang terbaik dan feri mesti dalam keadaan baik termasuk sistem penjualan tiket dan sebagainya. Itu antara syaratnya namun apa pun kita tunggu keputusan MOT,” ujarnya.

Sementara itu, Azman memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama syarikat operator, Jabatan Laut termasuk pihak yang terlibat dalam industri berkenaan bulan ini bagi membincangkan hal-hal berkaitan antaranya kekerapan jadual perjalanan feri.

Buat masa ini, harga tiket feri dari Kuala Kedah ke Langkawi bagi penumpang dewasa berharga RM23 sehala manakala kanak-kanak RM17. Perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi pula berharga RM18 (dewasa) dan RM13 (kanak-kanak).

Mulai 1 Julai lalu, tambang bagi perjalanan dua hala ke Pulau Pangkor meningkat kepada RM20 berbanding RM14 sebelum ini bagi dewasa manakala kanak-kanak pula RM11. Kenaikan harga tambang itu tidak dapat dielakkan kerana berlaku peningkatan kos operasi.