Ugut isteri kerana fail cerai di mahkamah

Mohamad Farouk Eshak
Mohamad Farouk Eshak
A
A
A

AMPANG - Seorang pemandu lori ditahan polis di Taman Bukit Teratai, di sini pada Sabtu kerana mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan lucah terhadap isterinya kerana wanita itu memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.15 malam pada 11 Julai lalu di kediaman mangsa di Taman Muda, Ampang.

Menurut Mohamad Farouk, lelaki terbabit datang dan membuat bising di luar kediaman mangsa yang berusia 31 tahun serta memarahi wanita itu kerana memfailkan permohonan cerai di mahkamah.

"Suami mangsa kemudian mengeluarkan ayat berbaur ugutan dan lucah kepada isterinya.

"Susulan itu, bertindak atas laporan, polis menahan suspek pada jam 2.15 pagi hari ini (Sabtu)," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Mohamad Farouk, semakan mendapati suspek yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu memiliki tiga rekod lampau bersabit kes dadah.

Tambah Mohamad Farouk, suspek direman tiga hari sehingga Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.