AGC sahkan wakil Jho Low jumpa kerajaan Malaysia

Jho Low
Jho Low
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melalui wakilnya membuat percubaan penyelesaian berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerajaan Malaysia pada tahun ini.

Perkara tersebut dimaklumkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara pada Sabtu.

“AGC merujuk kepada beberapa laporan berita berkenaan percubaan Jho Low untuk membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC.

“Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” katanya.

Menurut laporan portal berita berbahasa Inggeris yang memetik sumber mereka pada Jumaat, Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung skandal 1MDB.

Kerajaan bagaimanapun telah menolak tawaran tersebut.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB, berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat tersebut.

Beliau dipercayai diwakili oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam rundingannya dengan kerajaan Malaysia.