Penduduk Kampung Pasir mohon sistem perparitan lebih teratur

Kamarul Azman (kiri) menunjukkan lokasi hakisan tanah di Sungai Linggi yang terletak berhampiran dengan rumah penduduk.
Kamarul Azman (kiri) menunjukkan lokasi hakisan tanah di Sungai Linggi yang terletak berhampiran dengan rumah penduduk.
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Kampung Pasir di sini berharap sistem perparitan lebih teratur dapat dibina pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan perkampungan itu.

Masalah berkenaan makin memuncak apabila persempadanan atau pecah sempadan tanah dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban pada tahun 1995.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kamarul Azman Yusof berkata, sejak kawasan kampung itu dibuka pada tahun 1920-an, tiada sistem perparitan sempurna yang dibina di situ.

"Keadaan itu menyebabkan masalah banjir kilat kerap berlaku di sini terutamanya selepas kejadian banjir besar yang melanda pada tahun 2020.

"Saya difahamkan penduduk di sini sudah banyak kali buat aduan pada PBT tetapi sehingga kini kita tak nampak apa-apa tindakan dibuat bagi membina sistem perparitan yang lebih sempurna di kampung kami," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, lebih merumitkan apabila semakin banyak rumah baharu dibina namun masalah sistem perparitan di kawasan ini masih belum diselesaikan.

Ujarnya, keadaan itu juga menyebabkan ada rumah penduduk yang dilimpahi air bercampur najis berpunca daripada projek rumah baharu.

Kamarul Azman menunjukkan sebuah rumah penduduk yang telah memasuki tanah orang lain.
Kamarul Azman menunjukkan sebuah rumah penduduk yang telah memasuki tanah orang lain.

"Masalah ini juga menyebabkan ada penduduk yang bertengkar sesama mereka dan menyalahkan antara satu sama lain.

"Masa awal kampung ini dibuka, hanya terdapat 30 buah rumah dan waktu itu kita tak nampak masalah yang timbul macam sekarang," katanya.

Berkenaan dengan masalah yang timbul akibat persempadanan kampung itu, Kamarul Azman berkata, ada rumah penduduk yang berusia lebih 20 tahun terpaksa dipecahkan kerana kawasan rumah yang dibina telah memasuki tanah orang lain.

Jelasnya, isu itu perlu diselesaikan dengan melibatkan campur tangan pihak berkuasa sekali gus mengelakkan pergaduhan antara penduduk.

"Sebagai contohnya tembok pagar sebuah rumah warga emas yang sudah 60 tahun tinggal di sini terpaksa dirobohkan.

"Ini kerana apabila penilaian tanah dibuat oleh pemilik tanah baharu di kawasan bersebelahan mendapati kawasan rumah warga emas itu telah memasuki tanahnya" ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarul Azman berkata, masalah lain yang membimbangkan mereka ialah hakisan tanah di Sungai Linggi kerana ia berhampiran dengan rumah penduduk.

Tambahnya, jika tiada tindakan susulan dilakukan oleh pihak berwajib ia dibimbangi akan menjadi lebih teruk.

"Saya mewakili penduduk amat berharap tindakan penyelesaian daripada pihak berwajib kerana penduduk dah banyak kali buat aduan," katanya.