Harus ada kesinambungan

Maloney melepaskan jawatannya selepas mencapai persetujuan bersama dengan FAM.
Maloney melepaskan jawatannya selepas mencapai persetujuan bersama dengan FAM.
A
A
A

JURULATIH yang bakal menggantikan tempat Brad Maloney selaku pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara perlu memahami modul latihan yang diterapkan Kim Pan-gon dalam usaha mewujudkan kesinambungan corak permainan.

Kesinambungan itu dianggap penting dalam usaha memudahkan pembentukan pasukan terutamaya apabila barisan pemain muda negara dipilih menyarung jersi skuad senior Harimau Malaya bimbingan Pan-gon.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, sekiranya proses itu berjaya dilaksanakan dengan baik, ia pasti akan memudahkan lagi tugas jurulatih di peringkat senior dalam membentuk pasukan lebih ampuh.

“Pada pandangan saya, tugas jurulatih atau mana-mana jurulatih sama penting. Sebab itu bagi jurulatih di peringkat junior, sangat penting untuk mereka menyediakan pemain muda berkualiti ke skuad senior.

“Paling utama, jurulatih yang membimbing pemain muda negara sudah dapat ‘membaca’ apa yang dimahukan ketua jurulatih pasukan senior kerana skuad junior ini yang akan melahirkan pemain yang cerdik pada masa akan datang.

“Jadi pentingnya pemilihan jurulatih skuad B-23 dibuat dengan teliti agar dia mampu mengikut atau mempraktikkan modul latihan yang diterapkan jurulatih pasukan senior kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, ‘jodoh’ Maloney bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlerai secara rasmi selepas badan induk itu melepaskan pengendali dari Australia berkenaan secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Untuk rekod, pengendali berusia 50 tahun itu telah menabur bakti di FAM selama lapan tahun, bermula sebagai penolong jurulatih skuad B-23 kepada Datuk Ong Kim Swee.

Maloney kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan B-19 sebelum dinaikkan pangkat apabila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad B-23.

Mengulas mengenai kriteria calon bagi menggantikan tempat Maloney, Azlan memberitahu, FAM seharusnya mempertimbang keutamaan kepada jurulatih tempatan.

“Bagi saya, pemlilihan jurulatih ini perlulah diberikan keutamaan kepada calon tempatan. Sebenarnya kita ada ramai jurulatih tempatan berkaliber yang mampu mengisi tempat Maloney.

“Tetapi kalau jurulatih terbabit tak dapat ikut modul yang diterapkan Pan-gon, tak guna juga. Itu sebabnya awal-awal tadi saya katakan perlu ada kesinambungan modul di peringkat junior dan senior.

“Kalau lantik jurulatih luar negara pula, tak semestinya dia bagus. Jurulatih berkenaan mestilah cerdik dan boleh berikan pandangan yang lebih bagus terhadap modul sedia ada,” jelasnya.