Kerajaan salur RM20.89 bilion bagi program subsidi upah

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.89 bilion kepada 357,895 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bagi PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 1 Julai 2022.

Beliau berkata di bawah PSU 2.0 setakat 1 Julai 2022, sejumlah RM1.408 bilion telah disalurkan kepada 81,158 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian seramai 719,024 pekerja.

"Sementara bagi PSU 3.0 setakat tempoh yang sama, sebanyak RM3.766 bilion telah disalurkan kepada 162,307 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.53 juta pekerja.

"Malah, PSU 3.0 turut ditambahbaik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-103 yang dikeluarkan pada hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kerajaan telah melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja.

"Bagi tempoh setakat 1 Julai 2022, sebanyak RM2.56 bilion telah disalurkan kepada 163,696 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1.92 juta pekerja,” katanya.

Beliau berkata, bagi PSU 5.0, sebanyak RM188.072 juta telah disalurkan kepada 7,579 majikan setakat 1 Julai 2022 bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 106,948 pekerja.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, seramai 33,456 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif program Malaysia Short-term Employment (MySTEP) setakat 30 Jun 2022.

Daripada jumlah tersebut, seramai 17,446 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 16,010 pekerja lain di GLC serta rakan-rakan strategik lain, kata beliau.

Dalam pada itu, bagi memastikan tempat bagi anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus atau 800 peluang penempatan untuk program MySTEP kepada golongan berkenaan.

"Kerajaan amat menggalakkan agar warga OKU turut mengambil kesempatan ini dan memohon penyertaan melalui Portal MySTEP,” katanya. - Bernama