100,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Bukit Rangin

Abdullah (dua dari kanan) mengiringi Mohd Shahar melepaskan benih udang galah di Sungai Bukit Rangin.
Abdullah (dua dari kanan) mengiringi Mohd Shahar melepaskan benih udang galah di Sungai Bukit Rangin.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan 100,000 benih udang galah ke Sungai Bukit Rangin, di sini pada Khamis.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, program pelepasan benih udang galah di perairan umum itu bertujuan membantu menambah stok perikanan bernilai tinggi di sungai berkenaan.

Menurutnya, ia juga sebagai salah satu langkah bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat di daerah ini.

"Nelayan dan masyarakat setempat diharap memanfaatkan kekayaan sumber perikanan yang disediakan dengan sebaik mungkin dan tidak menggunakan peralatan destruktif yang boleh memusnahkan sumber perikanan.

"Aktiviti menangkap ikan dengan cara meracun, menggunakan bahan letupan dan elektrik suatu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991.

"Pihak terlibat boleh dikenakan tindakan termasuk dikompaun atau didakwa di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pelepasan 100,000 benih dan 55 induk udang galah di perairan umum Sungai Bukit Rangin, di sini yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk indera Mohd Shahar Abdullah pada Khamis.

Abdullah berkata, Sungai Bukit Rangin terkenal dengan udang galah dan pelbagai spesies ikan seperti baung, belida, tapah, ketutu dan lampam sungai.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan terus berusaha menambah stok perikanan di beberapa sungai utama di negeri ini seperti Sungai Kuantan, Sungai Pahang dan Sungai Jelai dalam usaha menjamin bekalan makanan negara.