Dua warga Singapura terbabit kes khianat sudah ditahan

Tangkap layar rakaman video berkaitan kes khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar pada 9 Julai lalu.
Tangkap layar rakaman video berkaitan kes khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar pada 9 Julai lalu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Polis sudah menahan dua suspek warga Singapura pada malam Khamis, yang dipercayai terlibat dengan kes khianat di jalan berhampiran CIQ Linkedua pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek terdiri daripada wanita, 18, dan lelaki, 46, itu ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam Kompleks Sultan Abu Bakar Tanjung Kupang di laluan masuk ke Malaysia dari Singapura.

RAHMAT
RAHMAT

"Suspek ditahan pada jam 9.15 malam pada tarikh sama kejadian berlaku dan direman selama sehari.

"Kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya telah dihalang serta bergesel semasa kejadian

"Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga tertangkapnya suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 12 Julai lalu, polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek yang terlibat dalam kejadian khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar di sini pada 9 Julai lalu.

Rahmat menerusi kenyataan pada Ahad lalu berkata, kejadian khianat itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa telah bergesel dengan kereta dipandu dua suspek terbabit.

Dalam kejadian pada 9 Julai lalu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

“Suspek telah berhentikan kenderaan sebelum seorang lelaki dan seorang perempuan kemudiannya turun dari kenderaan terbabit.

“Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

“Sementara itu suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampak nombor pendaftaran itu ke arah cermin hadapan kereta mangsa,” katanya.

Sebelum itu tular di media sosial memaparkan sebuah video yang berdurasi 2.06 minit berhubung kejadian terbabit.

Video itu memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan jenis Alphard dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

Wanita terbabit turut dilihat mencabut nombor plat kenderaan berkenaan dan membalingnya.

Ketika wanita itu beredar, seorang lelaki muncul dari sebuah kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Singapura dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu Alphard.