Stor haram simpan minyak diesel bersubsidi diserbu

Dua buah lori yang disita KPDNHEP Negeri Sembilan pada Khamis. - Foto Ihsan KPDNHEP
Dua buah lori yang disita KPDNHEP Negeri Sembilan pada Khamis. - Foto Ihsan KPDNHEP
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah menyerbu sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Kampung Bemban Hilir di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, ketika serbuan dilakukan pada jam 5.30 petang, empat lelaki yang sedang melakukan pemindahan diesel cuba melarikan diri, namun mereka berjaya ditangkap.

"Empat suspek didapati sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori tangki dan sebuah lori bonded yang diubah suai ke dalam tangki-tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.

"Menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap pasukan serbuan," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 11 unit tangki petak dan sebuah 'skid tank' yang berisi dengan minyak diesel dipercayai telah dipindahkan daripada lori-lori berkenaan melalui hos.

Ujarnya, premis itu juga didapati tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

Tangki berisi minyak diesel bersubsidi yang ditemui di stor yang diserbu KPDNHEP Negeri Sembilan pada Khamis. - Foto Ihsan KPDNHEP
Tangki berisi minyak diesel bersubsidi yang ditemui di stor yang diserbu KPDNHEP Negeri Sembilan pada Khamis. - Foto Ihsan KPDNHEP

"Lokasi stor yang agak terpencil menjadikan sindiket ini sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan dan syaki melakukan kegiatan ini sejak enam bulan lalu.

"Hasil serbuan itu, sebanyak 31,215 liter minyak diesel termasuk dua buah lori dan peralatan lain yang digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel telah disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 269,912.25," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 29 hingga 42 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Tambah beliau, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan minyak diesel di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket berkenaan.