Kongres Nasional tentukan hala tuju PKR

No Image Caption
A
A
A

KONGRES Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) dinantikan ramai orang bagi mengetahui apakah hala tuju parti yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kongres ini dilihat akan menentukan apakah strategi digunakan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Antara yang paling utama adalah mengenai strategi khemah besar yang dicadangkan oleh PH sebelum ini.

Bagaimanapun, kemenangan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden sedikit sebanyak akan menyebabkan strategi itu dilupakan selepas ini.

Ini kerana, Rafizi secara terang-terangan menolak idea khemah besar selain turut menggesa agar ahli parti itu memilih calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menolaknya.

“Kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak khemah besar. Sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu PKR membina kekuatan sendiri.

“Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar,” katanya di Facebook.

Selain daripada strategi khemah besar ini, besar kemungkinan faktor seperti penggunaan logo yang akan digunakan akan disentuh serba sedikit oleh perwakilan yang hadir.

Penggunaan logo juga sebelum ini mencetuskan isu apabila PKR buat pertama kalinya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logonya sendiri manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kekal menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).

Menerusi PRN Johor itu, Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 40 kerusi, PH 11, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

Selain itu, menerusi kongres ini juga dapat dilihat apakah strategi yang akan digunakan oleh PH bagi menarik minat pengundi muda bagi mengundi gabungan yang diketuai oleh Anwar ini.