[VIDEO] ‘Ketegangan politik dalam PKR akan berterusan’

Mohammad Tawfik
Mohammad Tawfik
A
A
A

SHAH ALAM – Walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan Kongres Nasional ke-16 pada hujung minggu ini, namun ketegangan politik akan berterusan dalam parti yang dipimpin oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini dapat dilihat wujudnya dua kem dalam parti itu iaitu kem yang bersama dengan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan kem yang menyokong Anwar iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita baru sahaja melepasi pemilihan PKR. Sudah pasti kita lihat percakaran politik itu belum diredakan sepenuhnya.

“Jadi, apakah langkah seterusnya Rafizi? Adakah ingin berdamai dengan Anwar atau Anwar mahu membuka laluan perdamaian bersama-sama Rafizi bagi memastikan PKR terus mendapat perhatian dan sokongan daripada ahli,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Kongres PKR: Liku Anwar Gapai PM Ke-10’ yang dikendalikan oleh Haizir Othman disiarkan di semua platform Sinar Harian.

Tambah Mohammad Tawfik, menerusi kongres ini juga, PKR perlu memperlihatkan kepada umum bahawa mereka boleh bersatu semula.

Ini kerana katanya, imej PKR telah tercalar kerana sering menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti pengeluaran keputusan yang lambat tetapi parti itu juga berbuat perkara yang sama.

“Bagaimana nak mengkritik gabungan atau institusi yang menjalankan pilihan raya sedangkan parti tersebut juga berhadapan dengan kucar-kacirnya pemilihan, audit forensik dalaman, kemudian ada pemilihan secara dalam talian.

“Tidak pernah dalam sejarah SPR, kita ada dua kaedah pemilihan pilihan raya. Tetapi PKR menunjukkan kaedah tersebut mampu dilaksanakan dan akhirnya menjadi pertikaian.

“Itulah sebenarnya yang perlu dijelaskan oleh pemimpin-pemimpin iaitu bagaimana menangani permasalahan dalaman itu,” ujarnya.