Ben Daud mahu jadi pengedar utama daging di Lembah Klang

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Zahari Kechik (tengah) melawat gudang makanan sejuk beku selepas merasmikan gudang baharu Ben Daud Industries Sdn Bhd di Pendamar.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Zahari Kechik (tengah) melawat gudang makanan sejuk beku selepas merasmikan gudang baharu Ben Daud Industries Sdn Bhd di Pendamar.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Ben Daud Industries Sdn Bhd berhasrat menjadi antara pengedar utama daging di kawasan Lembah Klang dalam tempoh lima tahun akan datang melalui pembukaan gudang sejuk beku pertamanya di Pendamar, Klang.

Pengarahnya Wan Muhd Hisham Wan Hawari berkata, Ben Daud berjaya mengimport daging halal pertamanya dari India sebanyak satu kontena seberat 28 tan yang dibawa masuk pada Mac lepas.

"Kami mendapat sambutan yang baik daripada pemborong di beberapa negeri dan syarikat ini menjangka akan mengimport satu lagi kontena dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian gudang tersebut oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Zahari Kechik di sini pada Khamis.

Beliau berkata, untuk tahun hadapan, tumpuan akan diberikan bagi operasi di Selangor dengan menyediakan platform jualan dalam talian melalui Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) dan membuka peluang kepada kepada mereka yang berminat menjadi francaisi.

"Sasaran kita untuk tahun hadapan adalah setiap daerah di Selangor akan mempunyai dua hingga tiga francaisi Ben Daud memandangkan potensi yang luas untuk pasaran di negeri ini,” katanya.

Katanya, skim francais Ben Daud menawarkan modal yang rendah pada sekitar RM100,000 hingga RM150,000 dengan jangkaan pulangan pelaburan dalam tempoh empat hingga lima tahun.

Ben Daud telah ditubuhkan pada Mac 2016 sebagai pemborong dan peruncit bumiputera dalam industri sejuk beku.

Selmedia Sdn Bhd, anak syarikat Selangor Industrial Corp Sdn Bhd telah menjadi pemegang saham majoriti Ben Daud sebanyak 70 peratus pada tahun lepas. - Bernama .