ATC 2022 dijangka tarik penyertaan 1,000 peserta dari 35 negara

Ahmad Faizal (tiga dari kanan) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Imej dan Lokasi Triatlon Asia Cup 2022 di Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
Ahmad Faizal (tiga dari kanan) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Imej dan Lokasi Triatlon Asia Cup 2022 di Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 1,000 peserta dari 35 negara dijangka menyertai Asia Triathlon Cup (ATC) 2022 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak pada 18 hingga 20 November ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin penganjuran ATC yang kembali ke Malaysia selepas kali terakhir dilangsungkan di Sabah sekitar 1980-an mampu menarik atlet triathlon terbaik di rantau ini untuk memeriahkan kejohanan tersebut.

"Saya amat berbangga dengan penganjuran ATC kerana ia merupakan bukti Malaysia sudah membuka pintu seluasnya untuk menganjurkan banyak acara sukan antarabangsa.

"Sebelum ini, kita dah anjurkan kelayakan Piala Asia 2023 dan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) pun akan menyusul selepas ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ATC 2022 di Putrajaya pada Khamis.

Aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil telah diadakan bulan lepas manakala LTdL dijadual berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober ini.

Ahmad Faizal berkata, penganjuran ATC 2022 juga bakal menyemarakkan lagi sektor pelancongan negara.

Acara yang akan dipertandingkan pada ATC 2022 ini terdiri daripada enam kategori iaitu untuk lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas, peringkat umur 19 hingga 23 tahun dan peringkat umur 16 hingga 19 tahun.

Lebih menarik, acara itu menjadi medan terakhir buat para atlet triathlon di rantau ini untuk mengutip mata bagi menentukan siapa yang bakal bergelar juara keseluruhan daripada enam siri tahun ini.

Selain kategori utama, Persatuan Triathlon Perak selaku penganjur bersama Persatuan Triathlon Malaysia bercadang menganjurkan perlumbaan peringkat umur bagi peserta tempatan, sekali gus menjadi platform untuk mencari juara tempatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Triathlon Malaysia, Tony Tan Beng Hong pula menjangkakan 20 atlet kebangsaan bakal membawa cabaran negara pada ATC 2022 di Perak itu. - Bernama