MOTAC semak semula sasaran jumlah kedatangan pelancong

Nancy Shukri semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Mardhiyyah Hotel and Suites di Seksyen 14, hari ini. - Foto Bernama
Nancy Shukri semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Mardhiyyah Hotel and Suites di Seksyen 14, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyemak semula sasaran jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia pada tahun ini yang mungkin melebihi daripada sasaran awal sebanyak 4.5 juta orang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia berikutan faktor percutian mesra muslim holistik yang disediakan di negara ini telah menarik banyak negara untuk memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

"Susulan itu, September ini kita kena semak balik (jumlah pelancong) mungkin lebih daripada 4.5 juta. Ini dilihat dengan kedatangan pelancong China (selepas ini) yang mempunyai penduduk Islam begitu tinggi dan mereka selama ini gemar untuk datang ke Malaysia.

"Ketika menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Azerbaijan baru-baru ini, saya melihat banyak negara memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mesra muslim. Dengan wujudnya kemudahan hospitaliti mesra muslim, ia pasti akan meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini," katanya.

Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Mardiyyah Hotel & Suites di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan pihaknya ketika persidangan itu, kebanyakan pelancong hanya meminta bantuan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dari aspek perhubungan terutama kekerapan penerbangan dan penerbangan terus ke Malaysia.

Mengulas mengenai persediaan tenaga kerja bagi industri pelancongan susulan Indonesia membekukan sementara tenaga kerjanya ke Malaysia, Nancy berkata, kementeriannya turut memohon tenaga buruh asing dari negara lain namun kemasukan mereka ke Malaysia ditentukan oleh Kementerian Sumber Manusia.

"Kita hanya membantu penggiat industri terutama sekali hotel untuk mendapatkan pekerja dari negara luar. Pada masa sama, kita tidak pernah berputus asa untuk (mewujudkan peluang pekerjaan kepada) warga tempatan,” katanya. - Bernama