Tiada masa ambil lesen jadi alasan popular

Antara penunggang yang diperiksa sepanjang Op Motosikal di PJS 2, Petaling Jaya pada Rabu. Foto: JPJ Selangor
Antara penunggang yang diperiksa sepanjang Op Motosikal di PJS 2, Petaling Jaya pada Rabu. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

PETALING JAYA - Tiada masa untuk ambil lesen antara alasan popular diberi penunggang motosikal apabila ditahan kerana menunggang tanpa lesen pada Op Motosikal di Plaza Tol PJS 2, di sini pada Rabu.

Operasi bermula jam 8 malam sempena Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, sebanyak 468 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan 1,207 motosikal.

"Daripada keseluruhan jumlah saman yang dikeluarkan, 216 saman adalah tiada lesen, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insuran (197 saman) serta lain-lain kesalahan dengan 55 saman.

Khairul Khar (kanan) hadir ke lokasi Op Motosikal di Plaza Tol PJS 2, Petaling Jaya pada Rabu. Foto: JPJ Selangor
Khairul Khar (kanan) hadir ke lokasi Op Motosikal di Plaza Tol PJS 2, Petaling Jaya pada Rabu. Foto: JPJ Selangor

"Susulan jumlah saman yang tinggi kerana menunggang tiada lesen, rata-rata penunggang memberi alasan tiada masa untuk ambil lesen selain mendakwa harga untuk ujian yang mahal di institut memandu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, operasi ini memfokuskan penguatkuasaan dan advokasi kepada pengguna kenderaan termasuk pemeriksaan lesen memandu penunggang motosikal dan teknikal.

Katanya, JPJ akan terus melaksanakan kempen keselamatan dan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan jalan raya terus meningkat serta mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua pengguna.

"Selaras dengan Op HRAA ini juga, JPJ turut melaksanakan operasi rondaan di jalan utama negeri, pemeriksaan di depoh dan terminal bas, penyamaran dan pelbagai aktiviti lain yang berkaitan," ujarnya.

Hadir sama ketika operasi, Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat.