RM19 juta laksana 16 program PROSPEK

Mahdzir (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM8 juta kepada KEDA untuk melaksanakan PROSPEK Pedu.
Mahdzir (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM8 juta kepada KEDA untuk melaksanakan PROSPEK Pedu.
A
A
A

KUALA NERANG - Sebanyak RM19 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia melibatkan 16 projek dan dilaksanakan menerusi tiga komponen, iaitu ekonomi, prasarana asas dan perumahan.

Menurutnya, terdapat 13 projek sambungan PROSPEK sedang dibangunkan selain PROSPEK di kawasan Pedu yang merupakan antara projek baharu yang dilaksanakan pada tahun ini.

“Projek di Pedu ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan kos keseluruhan RM8 juta. Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di mukim Pedu dan daerah Padang Terap," katanya pada sidang akhbar selepas hadir majlis taklimat khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu, di Kampung Padang Setol di sini, pada Khamis.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, fasa pembangunannya melibatkan 12 kampung dalam mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada serta berpotensi untuk dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sektor pelancongan juga antara aktiviti ekonomi yang dikenal pasti bagi pembangunan projek ini. Ini termasuk usahawan sedia ada yang akan dibantu dalam aspek pemasaran, penanaman atau kaian dan penyelidikan (RND).

“Contohnya, di Pedu terdapat nelayan di Tasik Pedu, kita akan lihat macam mana nak bantu mereka. Terdapat 20 pengusaha durian musang king di kampung ini dan berpotensi untuk dibantu menerusi PROSPEK,” katanya.

Menurutnya lagi, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selaku agensi pelaksana dan dibantu Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) selaku agensi pelaksana kajian.

“Dalam aspek kemahiran pula, kita dapatkan anak-anak penduduk untuk diberikan latihan bagi memperolehi sijil kemahiran di institusi khususnya bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” ujarnya.

Mahdzir berkata, pelaksanaan PROSPEK bermula pada tahun 2018 melibatkan dua projek rintis di Kampung Sidam, Kulim, Kedah dan Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu.

“PROSPEK Rintis Kampung Sidam menjalankan aktiviti tanaman jagung dan pemprosesan produk berasaskan jagung. Di Kampung Pasir Raja pula melaksanakan projek ternakan ikan air tawar,” katanya lagi.

Menurutnya, projek ini akan diperluaskan lagi di Kedah selepas Kulim dan Pedu, dengan menyasarkan Sik dan Kuala Nerang untuk kawasan seterusnya.