DUN Sabah bersidang empat hari bermula Isnin

DUN Sabah akan bersidang selama empat hari bermula Isnin ini.
DUN Sabah akan bersidang selama empat hari bermula Isnin ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang selama empat hari bermula Isnin ini, kata Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Beliau berkata, sebanyak empat rang undang-undang dibawa pada persidangan kedua penggal ketiga DUN Sabah Ke-16 itu, namun beliau tidak menjelaskan lanjut mengenai rang undang-undang yang akan dibawa pada persidangan kali ini.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 seperti pemakaian pelitup muka dan ujian calitan masih dikuat kuasa ketika persidangan kali ini,” katanya ketiak sidang akhbar di Bangunan DUN Sabah di Likas di sini pada Khamis.

Kadzim berkata, pada persidangan kali ini DUN Sabah membenarkan kehadiran pemerhati, justeru mereka yang berminat untuk menjadi pemerhati dikehendaki membuat permohonan kepada pihak urus setia persidangan.

"Sekolah, badan bukan kerajaan boleh buat permohonan begitu juga Yang Berhormat mahu bawa pemerhati mereka, tetapi jumlah dan masa itu terhad kerana kita masih tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan itu, beliau mengesahkan ADUN Kukusan, Rina Jainal yang keluar Parti Warisan pada 5 Jun lepas akan duduk di Blok Kerajaan kerana telah mengisytiharkan dirinya ADUN mesra kerajaan.

Beliau berkata, bagi ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi juga Ahli Parlimen Lahad Datu yang keluar Bersatu pada 28 Jun lepas kekal di Blok Kerajaan kerana masih ADUN mesra kerajaan. - Bernama