Permohonan 1MDB peroleh dokumen dalam saman Riza Aziz diketahui 4 Ogos

Riza Shahriz - Foto Bernama
Riza Shahriz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 4 Ogos untuk keputusan permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya bagi mendapatkan dokumen dalam saman AS$248 juta terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya yang didakwa menyalahgunakan dana syarikat pelaburan strategik itu.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza Shahriz dan syarikat Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited selaku defendan berkata, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak dalam saman itu.

"Keputusan akan disampaikan menerusi e-mel,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pendengaran permohonan itu dalam kamar Hakim Amarjeet.

Sementara itu, peguam Rabindra S Nathan yang mewakili 1MDB dan tiga subsidiarinya mengesahkan perkara itu.

1MDB dan tiga subsidiarinya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 28 Januari lepas, memohon dokumen antaranya surat berkaitan hubungan antara ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Riza Shahriz, surat berkenaan penerimaan serta penggunaan dana AS$10,173,104 oleh Red Granite Pictures dan AS$238 juta oleh Red Granite Capital.

Berdasarkan afidavit sokongan dalam permohonan itu, Pengarah 1MDB, Mohd Hisyamuddin Awang Abu Bakar berkata, dokumen berkenaan membantu plaintif dalam membuktikan tuntutan mereka selain membolehkan plaintif memperoleh maklumat lanjut bagi menyokong tuntutan dalam saman tersebut.

Menerusi afidavit balasan, Riza Shahriz berkata, beliau dinasihatkan oleh peguam dan sesungguhnya percaya bahawa dokumen yang diminta oleh plaintif adalah semata-mata untuk memancing bagi mendapatkan maklumat lanjut dan dengan membenarkan permohonan itu, ia adalah satu penindasan teruk terhadapnya.

1MDB dan tiga subsidiarinya yang memfailkan saman pada 7 Mei tahun lepas, mendakwa pada 2011 dan 2012, Riza Shahriz serta dua syarikatnya menerima dana kira-kira AS$248 juta daripada mereka yang didakwa disalah guna apabila defendan menggunakan dana itu untuk kepentingan peribadi dan kepentingan rakan sekutu mereka, termasuk bagi membiayai penerbitan filem dan pembelian pelbagai harta tanah.

Syarikat-syarikat tersebut mendakwa Riza Shahriz yang mengendalikan dua syarikat Red Granite, semestinya mengetahui bahawa wang yang berpunca daripada 1MDB disalahgunakan untuk kepentingan mereka.

Oleh itu, plantif memohon perisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan penggunaan dana yang tidak adil serta memohon pembayaran balik dana yang disalahgunakan.

Riza Shahriz dan dua syarikatnya dalam pernyataan pembelaan mendakwa memperoleh pinjaman berkenaan daripada keluarga Diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat, bukan daripada dana 1MDB.

Beliau mendakwa sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk memperoleh pinjaman daripada bank, oleh sebab itu beliau memutuskan untuk mendapatkan pinjaman daripada individu atau syarikat. - Bernama