Harap laporan audit forensik MAPS dibentang minggu depan

Zhemin (kiri) dan Kar Hing ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat PAC, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Zhemin (kiri) dan Kar Hing ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat PAC, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Laporan Audit Forensik Taman Tema Studio Animasi (MAPS) diharap dapat dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung mulai 18 Julai depan.

Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Chong Zhemin berkata, laporan tersebut difahamkan sudahpun lengkap sejak tahun 2020 tetapi disebabkan masalah teknikal ia tidak dapat dibentangkan di dalam DUN Perak yang lalu.

Menurutnya, laporan tersebut perlu dibentangkan pada Sidang DUN kali ini walaupun terdapat anggota PAC tidak bersetuju memandangkan sebahagian daripada RM400,000 bayaran yuran kepada firma audit belum diselesaikan sepenuhnya.

"Saya harap pihak PAC dapat segera mencari peruntukan bagi membayar baki RM200,000 kepada PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk dibentangkan di dalam Dewan sebab saya khuatir kalau kita tak buat dengan cepat, kita tak sempat bentangkan.

"Saya harap juga ini bukan taktik untuk melengahkan pembentangan laporan audit kerana ini sudah berlarutan hampir dua tahun. Semasa penggulungan Menteri Besar Perak pada sesi yang lepas saya tanya adakah laporan ini akan dibentangkan dan beliau beri respon 'nothing to hide'," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat PAC, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Zhemin berkata, selain isu audit forensik MAPS yang dibangkitkan di dalam Mesyuarat PAC pada 4 Julai 2022, terdapat dua lagi isu berbangkit mengenai tapak cadangan lapangan terbang Seri Iskandar dan perlombongan lantanid di Hulu Perak.

Menurutnya, kedua-dua isu tersebut dipersetujui oleh anggota mesyuarat menjalankan siasatan dan memanggil saksi-saksi berkaitan bagi memberikan penjelasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji berkata, bagaimanapun sehingga ini belum ada ketetapan tarikh mesyuarat dan senarai saksi-saksi yang akan dipanggil di dalam mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota PAC, Tan Kar Hing berkata, menjadi amalan PAC untuk memaklumkan kepada umum mengenai perkara yang berbangkit pada setiap kali mesyuarat.

Menurutnya, tiga perkara berbangkit itu merupakan isu yang sering menjadi bahan politik untuk bertikam lidah sama di dalam DUN atau di luar.

"Kami menghormati ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris sebagai Pengerusi PAC. Beliau mempunyai hak mutlak untuk mengumumkan sebarang keputusan atau hasil laporan yang dibincangkan di dalam mesyuarat.

"Tetapi, kami telahpun lama menunggu untuk dipanggil mesyuarat selepas itu kami rasa sangat penting untuk warga Perak mengetahui isu yang berbangkit dengan memaklumkan perkembangan terkini apa dibincangkan di dalam mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri mengambil langkah yang serius terutama berkaitan laporan audit forensik MAPS supaya laporan boleh dibentangkan.

Jelasnya, jika tidak dibentangkan isu berkenaan akan terus dibangkitkan di dalam persidangan DUN Perak pada masa akan datang tanpa ada penyelesaian.