UTM sokong inisiatif Menu Siswa Keluarga Malaysia RM3.50

Menu Siswa Keluarga Malaysia ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menu Siswa Keluarga Malaysia ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
A
A
A

JOHOR BAHRU- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memperkenalkan Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50 di tiga kafeteria terpilih di kampusnya di sini bagi meringankan beban kewangan pelajar dalam membeli makanan harian.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, langkah tersebut sebagai menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi inisiatif Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia yang disifatkan tepat ketika kos sara hidup semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, pelbagai pilihan menu makanan ditawarkan dengan harga RM3.50 sejak 11 Julai lalu, memberi kelegaan banyak pihak terutama pelajar.

"Menu berkenaan boleh dinikmati di tiga kafeteria terpilih di kampus Johor Bahru dan pihak UTM berterima kasih kepada pengusaha kerana memberikan kerjasama yang amat baik.

“Mana-mana pelajar yang berkeinginan untuk menikmati hidangan dengan harga istimewa yang ditawarkan boleh mengunjungi kafeteria The Kave di Arked Cengal, Pak Lah Cafe U9 Scholar Inn dan The Ohsemstation di Arked N24,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pihak UTM dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Majlis Perwakilan Mahasiswa sentiasa bekerjasama memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

"Pihak UTM juga sentiasa membuat pemantauan kawalan harga dan kualiti makanan yang ditawarkan. Amat penting untuk memastikan pelajar bukan sahaja menikmati harga makanan yang berpatutan tetapi ia juga mempunyai nutrisi yang lengkap.

"Daripada maklum balas yang diterima, pelajar UTM memberikan respon yang positif kepada Inisiatif Menu Kasih Siswa Keluarga Malaysia," katanya.