Pendidikan sebagai solusi jangka panjang pencemaran

Pendidikan kelestarian harus dilihat sebagai salah satu penyelesaian untuk mengatasi isu pencemaran.
Pendidikan kelestarian harus dilihat sebagai salah satu penyelesaian untuk mengatasi isu pencemaran.
A
A
A

KEJADIAN pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menjadi tumpuan rakyat seluruh Malaysia, baru-baru ini memberikan seribu satu iktibar untuk Malaysia terus mengorak langkah dalam pembangunan yang semakin pesat.

Malaysia tetap akan meneruskan agenda pembangunan dan pemodenan, begitu juga dengan dunia ini.

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memperkenalkan konsep Education for Sustainable Development (ESD) atau Pendidikan untuk Pembangunan Lestari seawal 1983 kerana menyedari pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi ianya boleh dilakukan dengan kaedah yang lebih lestari dan mampan jika meletakkan pendidikan sebagai kuncinya.

ESD adalah kaedah pembelajaran secara inter-disiplin meliputi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar dalam kurikulum formal dan tidak formal.

Pada tahun 2015, PBB memperkasakan usaha ESD ini dengan memperkenalkan Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Lestari yang mengandungi 17 matlamat yang perlu dicapai menjelang tahun 2030 supaya dunia ini mengekalkan keseimbangan dalam tiga aspek di atas walaupun mengalami pembangunan yang pesat.

Tujuan ESD adalah untuk memberikan pendidikan kepada semua pihak, dari sekolah, masyarakat, industri ke kerajaan, supaya menyedari kesan pembangunan yang dilakukan terhadap ketidakseimbangan sosial, ekonomi dan alam sekitar, kemudian mengambil tindakan bagi mengelakkan kesan buruk pembangunan yang tidak lestari.

Dalam aspek alam sekitar, Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan Pendidikan Alam Sekitar sejak tahun 1985 sebagai salah satu elemen merentas kurikulum tetapi pelaksanaannya amat bergantung kepada kesedaran dan pengetahuan guru sekolah terhadap isu alam sekitar.

Oleh itu, tindakan yang lebih bersifat tempatan dan fokus perlu dilakukan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah yang akan menjadi pemimpin, pengusaha perniagaan, pendidik dan penduduk dunia pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir tahun 2014, wilayah Iskandar Malaysia telah diiktiraf sebagai RCE Iskandar (Regional Centre of Expertise on ESD) oleh United Nations University (UNU).

Sekretariat RCE Iskandar adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

RCE Iskandar telah menjalankan pelbagai usaha bagi mendidik masyarakat khususnya pelajar sekolah tentang kepentingan penjagaan alam sekitar melalui program seperti Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC), Problem-Based Learning for Low Carbon Society (PBL LCS), RCE Iskandar Sustainable & Low Carbon Schools Exhibition dan sebagainya.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah melancarkan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 pada 30 Januari 2019 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, YB Aminolhuda Hassan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, YB Tan Hong Pin.

Pelan Tindakan ini menggariskan lima strategi dan garis masa untuk membudayakan kelestarian dalam kehidupan masyarakat sekolah dari pelajar, guru, pentadbir kepada ibu bapa.

Semua usaha pendidikan yang lebih drastik telah disusun sejak kebelakangan ini tanpa perlu menunggu sesuatu kejadian terhadap alam sekitar yang tidak diingini daripada berlaku.

Namun proses pendidikan adalah satu usaha yang berpanjangan. Pulangan pelaburan (return of investment) dalam pendidikan bukan boleh dipetik dalam tempoh kurang daripada lima tahun, malahan sehingga 10 tahun atau satu generasi.

Bak kata pepatah, melentur aur biar daripada rebungnya. Masih ada harapan untuk negeri Johor dan Malaysia, malahan dunia ini terus bermandiri menghadapi pelbagai pembangunan yang pesat, sekiranya pendidikan kelestarian diterapkan secara tersusun sejak kecil lagi.

Pada masa sekarang, tindak balas segera untuk mengatasi pencemaran Sungai Kim Kim sedang diambil oleh pelbagai pihak berwajib dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pelaburan RM6.4 juta.

Pendidikan kelestarian harus dilihat juga sebagai salah satu penyelesaian untuk mengatasi isu ini, tetapi bersifat jangka panjang yang memerlukan pelaburan setimpal atau lebih tinggi daripada tindak balas segera itu.

Daripada 51 sungai paling tercemar yang disenaraikan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2017, 29 sungai ada di dalam negeri Johor. Laporan ini sudah cukup untuk memberi indikasi kepada perlunya pendidikan kesedaran yang lebih hebat di negeri Johor.

Oleh itu, Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor 2019-2023 yang dibawa oleh JPNJ haruslah mendapat sokongan padu daripada kerajaan supaya ia dapat direalisasikan dan seterusnya melahirkan generasi baru yang bukan sahaja prihatin kepada penjagaan alam sekitar, malahan mengambil tindakan bagi mengekang kerosakan pada alam dan memulihara alam sekitar kita.

Manalah tahu, Johor bakal melahirkan seorang aktivis muda seperti Greta Thunber dari Sweden yang kini menjadi calon Hadiah Keamanan Nobel kerana memimpin perjuangan daripada lapisan anak muda untuk menyedarkan para pemimpin dunia supaya mengambil tindakan mengekang perubahan iklim.

Penulis ialah Felo Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM Pensyarah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemasyarakatan, UTM