Hati Raphinha di Camp Nou

Raphinha
Raphinha
A
A
A

HASRAT dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan Arsenal untuk memiliki khidmat Raphinha dari Leeds United tidak kesampaian apabila pemain sayap Brazil memilih menyertai gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona.

Perkembangan terkini itu diumumkan kedua-dua kelab tersebut apabila masing-masing mengesahkan mencapai persetujuan dengan pemain berusia 25 tahun yang memulakan karier bersama kelab Brazil, Avaí pada musim 2015-2016.

"FC Barcelona dan Kelab Bola Sepak Leeds United telah mencapai persetujuan pada dasarnya untuk perpindahan pemain Raphael Dias Belloli (Raphinha), sementara menunggu pemain itu lulus ujian perubatannya," kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Chelsea dan Arsenal sebelum ini berusaha merekrut bintang Samba tersebut yang menyertai kelab Yorkshire itu dari kelab Ligue 1 Perancis, Stade Rennais pada 2020.

Namun pemain kebanggaan Porto Alegre memiliki sembilan penampilan bersama Brazil memilih menyertai Barcelona kendalian Xavi Hernandez yang menduduki tempat kedua dalam La Liga musim lalu.

Untuk rekod, Raphinha menjaringkan 17 gol dalam 67 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Leeds United selepas berpindah dari Rennais.

Raphinha menjadi perpindahan ketiga Hernandez selepas ketibaan Franck Kessie dan Andreas Christensen secara percuma.