Pemandu treler sebabkan kematian empat beranak ditahan

Anak mangsa (tengah) hadir ke Jabatan Forensik HRPB malam tadi bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.
Anak mangsa (tengah) hadir ke Jabatan Forensik HRPB malam tadi bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.
A
A
A

IPOH - Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan hingga mengorbankan empat beranak di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh pada Rabu telah ditahan untuk siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tahanan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dibuat bagi siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati, lelaki terbabit turut mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik dari tahun 2008 hingga 2021.

Kesemua jenazah empat beranak dikafan dan disembahyangkan di hospital sebelum dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.
Kesemua jenazah empat beranak dikafan dan disembahyangkan di hospital sebelum dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.

"Tiga daripada saman berkenaan adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2012, 2020 dan 2021.

"Ujian air kencing dijalankan mendapati, lelaki itu tidak memandu di bawah pengaruh dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan mendapati, treler bermuatan kosong yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung itu telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa dari arah belakang.

Katanya, rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima lagi kenderaan lain.

"Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 60 tahun, isterinya yang duduk di hadapan dan dua anak perempuan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian turut menyebabkan lima kenderaan lain mengalami kerosakan teruk, namun semua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor, Mohd Tarmini Che Hassan ditalian 013-5949441.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang, empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur itu maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam nahas tujuh kenderaan.

Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Koperal, Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Kesemua jenazah yang selesai menjalani bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh itu telah dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh di Pulau Pinang lewat malam Rabu untuk urusan pengebumian.