ROS belum buat keputusan untuk UMNO

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) belum mengeluarkan keputusan terhadap permohonan UMNO berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, biarpun jabatan itu di bawah seliaannya, namun ROS membuat keputusan secara bebas.

"Buat masa ini saya difahamkan ROS belum lagi keluarkan surat, saya pun tak tahu. Betullah saya yang mengawal ROS tetapi keputusan dibuat mereka," katanya.

Menurutnya, selaku Menteri Dalam Negeri, beliau hanya terlibat dalam permohonan rayuan.

"Perkara rayuan boleh tanya saya," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di kementeriannya, dekat sini pada Rabu.

Ditanya mengenai tarikh akhir untuk ROS membuat keputusan itu sebelum 16 Julai, beliau berkata, ia adalah permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kita tidak boleh salahkan PM, sebab beliau mohon kalau boleh dipercepatkan. Jika ROS boleh (bagi keputusan), dia buat," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu parti itu tidak menerima sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut selepas mengemukakan pindaan perlembagaan parti pada 17 Mei lalu.

UMNO melakukan pindaan kepada Fasa 10.16 yang menyatakan Majlis Tertinggi (MT) berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Penangguhan itu tidak boleh melebihi daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.