MS 1514:2022 tingkat kualiti, keselamatan makanan negara

Sekitar 130 orang peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, badan pensijilan dan pemain industri makanan menghadiri seminar tersebut pada Rabu.
Sekitar 130 orang peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, badan pensijilan dan pemain industri makanan menghadiri seminar tersebut pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah membangunkan MS 1514:2022 Good Manufacturing Practice (GMP) bagi menyokong usaha menjamin makanan yang dihasilkan dan dipasarkan dalam negara berkualiti dan selamat.

JSM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, MS 1514:2022 yang diluluskan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 1 Jun lalu telah dikemas kini daripada edisi MS 1514:2009.

Menurutnya, MS 1514 menyediakan garis panduan dan kriteria penting yang perlu dipatuhi oleh pengeluar makanan semasa pemprosesan makanan untuk menghasilkan produk yang selamat dimakan.

“Antaranya daripada aspek fasiliti, pengoperasian, kebersihan dan pengangkutan.

“MS 1514 juga merupakan rujukan yang boleh diguna pakai oleh pengilang bagi memenuhi keperluan pelaksanaan program jaminan keselamatan makanan, di mana GMP merupakan salah satunya.

“Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan kawalan keselamatan dan kualiti makanan pada peringkat pengeluaran bagi tujuan pasaran tempatan, di samping selari dengan standard antarabangsa,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berterusan berusaha menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk memastikan makanan yang dikilangkan selamat serta berkualiti.

Jelasnya, selaras dengan perkembangan pesat industri makanan negara, penghasilan pelbagai produk makanan telah meningkat saban tahun.

“Ini menjadikan isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan menjadi semakin penting.

“Industri memainkan peranan penting bagi memastikan makanan yang dihasilkan selamat dan berkualiti sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta memenuhi keperluan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia memperuntukkan semua premis makanan yang terlibat dalam pengilangan makanan perlu melaksanakan program jaminan keselamatan makanan,” katanya.

Menurutnya, menyedari MS 1514 merupakan Malaysia Standard (MS) yang mendapat permintaan tinggi dan penggunaan meluas dalam kalangan industri makanan, JSM dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan satu seminar.

“Seminar ini diadakan sekali dengan pelancaran MS 1514:2022 yang baharu diterbitkan bagi memberi penjelasan berkenaan klausa-klausa dan perubahan terkini serta mempromosi penggunaannya kepada umum.

“Diharapkan penganjuran ini dapat meningkatkan bilangan syarikat yang mengguna pakai standard ini serta dipersijilkan untuk GMP,” katanya.