Lembu sado hampir satu tan dikorban pada hari kedua Aidiladha

Zainol Abidin bersama Merah sebelum lembu kesayangannya itu dikorbankan pada malam kedua Hari Raya Aidiladha yang lalu.
Zainol Abidin bersama Merah sebelum lembu kesayangannya itu dikorbankan pada malam kedua Hari Raya Aidiladha yang lalu.
A
A
A

KUBANG PASU - [DIKEMAS KINI] Seekor lembu sado daripada baka Brahman yang mesra dengan panggilan Merah seakan mengerti dan reda apabila dikorbankan pada malam kedua Hari Raya Aidiladha.

Pemilik yang juga penternak, Zainol Abidin Mohamad, 63, berkata, lembu kesayangannya itu tidak menunjukkan tingkah laku agresif malah hanya menurut ketika dibawa ke tempat penyembelihan di ladang yang sama.

Katanya, enam individu diperlukan untuk merebahkan Merah kerana fizikalnya yang besar dan tinggi dengan berat 960 kilogram.

"Tetapi alhamdulillah saya nampak ia reda, kalau lembu lain sampai kena tarik dengan traktor, tetapi dia mudah saja dan ikut arahan.

"Cuma saya yang sebak dan tak sampai hati tengok Merah, sedikit sebanyak saya tetap sedih sebab ia sangat manja dengan saya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Proses membawa Merah dari kandang ke tempat penyembelihan pada malam kedua Aidiladha tidak berdepan sebarang masalah.
Proses membawa Merah dari kandang ke tempat penyembelihan pada malam kedua Aidiladha tidak berdepan sebarang masalah.

Menurutnya, Merah yang berusia empat tahun setengah dibeli oleh seorang individu dengan harga RM13,000 yang berminat untuk mencari lembu sado bagi ibadah korban tahun ini.

"Kalau ikutkan rasa sayang, memang sayang sangat tetapi ia semakin tua, umur sekarang ini sesuai untuk dikorbankan," katanya.

Katanya, Merah mula menjadi penghuni di ladang ternakannya itu sejak tiga tahun lalu setelah dibeli daripada seorang penternak di Perlis.

"Ramai anak muda yang berminat dengan Merah dan sering menjadi tumpuan di pameran-pameran penternakan.

Merah yang berusia empat tahun setengah dibeli oleh seorang individu dengan harga RM13,000 untuk dikorbankan.
Merah yang berusia empat tahun setengah dibeli oleh seorang individu dengan harga RM13,000 untuk dikorbankan.

"Malah Merah juga beberapa kali muncul di televisyen dan akhbar bersama saya," katanya.

Menurutnya, lembu baka Brahman mempunyai nilai dalam pasaran dan dia secara peribadi juga sangat berminat dengan lembu sado.

"Insya-ALLAH jika ada rezeki saya akan cari pengganti Merah juga daripada baka yang sama, " katanya.