Dovizioso umum persaraan hujung musim ini

Dovizioso - Foto Reuters
Dovizioso - Foto Reuters
A
A
A

PELUMBA Yamaha, Andrea Dovizioso mengumumkan untuk bersara daripada saingan MotoGP pada penghujung musim ini dan tidak akan kembali berlumba bagi musim 2023.

Menurut pelumba berusia 36 tahun itu, dia kini sudah tidak mengecap keseronokan berlumba dan mahu meninggalkan bidang yang diceburinya sejak tahun 2001.

“Saya tidak akan kembali berlumba tahun depan. Tiada sebab pun sebenarnya untuk saya kembali berlumba.

“Sebelum ini pun saya juga sering berkata, seandainya saya tidak lagi kompetitif dalam perlumbaan, saya akan berhenti berlumba.

“Oleh itu, saya rasa mungkin masanya sudah tiba. Lagipun, sudah lebih 20 tahun saya berlumba di litar dan semuanya kini seakan sudah melengkapi kehidupan saya,” katanya.

Dovizioso mengumumkan untuk bersara daripada saingan MotoGP pada penghujung musim ini. - Foto MotoGP.
Dovizioso mengumumkan untuk bersara daripada saingan MotoGP pada penghujung musim ini. - Foto MotoGP.

Untuk rekod, Dovizioso yang muncul tiga kali naib juara bersama Ducati sebelum ini hanya mampu meraih 10 mata musim ini apabila gagal menamatkan perlumbaan pada kedudukan 10 pelumba terbaik.

Bekas pelumba Petronas Yamaha (kini dikenali sebagai pasukan Yamaha RNF) itu juga sekadar berada pada kedudukan ke-22 pada carta pelumba terbaik musim ini.

Sementara itu juara bertahan MotoGP, Fabio Quartararo berkata, beberapa kemungkinan perubahan dalam sukan berkenaan berkemungkinan membuatkan Dovioso membuat keputusan untuk bersara.

“MotoGP kini sudah banyak berubah. Jika 10 tahun lalu, boleh dikatakan pelumba yang sama mengungguli kedudukan teratas, tetapi tidak lagi hari ini.

“Kedudukan berkenaan pasti berubah-ubah...namun yang pasti hampir kesemua pelumba kini semakin laju dan membuatkan MotoGP semakin kompetitif,” katanya.