Pergi atau potong gaji

Masa depan de Jong (kiri) kini menjadi tanda tanya.
Masa depan de Jong (kiri) kini menjadi tanda tanya.
A
A
A

PEMAIN buruan Manchester United, Frenkie de Jong harus menerima keputusan pengurusan Barcelona untuk memotong gajinya jika dia mahu terus kekal di Camp Nou.

Selepas United dan Barcelona mencapai kata sepakat berhubung yuran perpindahannya yang dilapor mencecah 55 juta pound (RM289 juta), kini terpulang kepada de Jong bagi menentukan hala tujunya.

Jika de Jong membuat keputusan berhijrah ke Old Trafford pada musim panas ini, dia akan kembali bergandingan bersama bekas jurulatihnya di Ajax, Erik ten Hag yang kini membimbing United.

Beberapa media di Sepanyol melaporkan, de Jong mahu terus menabur bakti di Camp Nou, namun masalah kewangan yang dihadapi Barcelona menyebabkan mereka sedia melepaskan pemain antarabangsa Belanda itu.

Menurut laporan Mundo Deportivo, jika de Jong mahu kekal menyarung jersi kelab Catalan itu, dia harus bersedia dengan pemotongan gaji sebanyak 25 juta pound (RM132 juta) setahun.

Difahamkan, Ketua Eksekutif United, John Murtough dan Richard Arnold telah menemui Pengarah Sukan Barcelona, Jordi Cruyff pada Isnin lalu bagi membincangkan urusan perpindahan de Jong.

Sebelum ini, Barcelona dilapor sudah bersetuju dengan yuran perpindahan berjumlah 70 juta pound (RM370 juta) untuk melepaskan de Jong beraksi bersama The Red Devils.

Bagaimanapun, kelab gergasi Sepanyol itu membuat ‘pusingan U’ sambil menyatakan de Jong sebagai antara aset utama mereka bagi menghadapi saingan musim depan.

Selain United, Chelsea juga dalam usaha membawa masuk pemain tengah berusia 25 tahun itu ke Stamford Bridge selepas berjaya mengikat bintang Manchester City, Raheem Sterling.

Untuk rekod, Barcelona membayar Ajax, 72 juta pound (RM378 juta) untuk menandatangani de Jong pada 2019 dan dia telah beraksi dalam 140 perlawanan setakat ini.