Dua beregu lelaki profesional negara bermula langkah kanan

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
A
A
A

DUA pasangan beregu lelaki profesional negara tampil momentum positif apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2022 pada Selasa.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang juga pilihan kelima, hanya memerlukan 29 minit untuk mengakhiri cabaran gandingan nombor 20 dunia Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-14, 21-14 pada pusingan pertama di Stadium Tertutup Singapura.

Gandingan Goh V Shem-Low Juan Shen juga turut mengesahkan kemaraan apabila memerlukan 20 minit mengatasi pasangan 138 dunia, Shyam Prasad-S Sunjith Jr.

V Shem-Juan Shen, yang mula digandingkan pada September tahun lalu kini berstatus 34 dunia tidak berdepan masalah mengatasi lawan dari India itu, 21-12, 21-10.

Sementara itu, hasrat dua pemain perseorangan lelaki negara Cheam June Wei dan Soong Joo Ven untuk mara tidak kesampaian apabila tewas di pusingan kelayakan.

June Wei juga memulakan kempen pemburuan kejuaraan dengan noktah kemenangan apabila menjinakkan pemain nombor 96 dunia dari India, Chirag Sen 21-14, 21-14 dalam masa 28 minit.

Namun pemain berstatus ranking ke-73 dunia itu gagal meneruskan momentum positif apabila tewas pada kelayakan kedua kepada pemain tuan rumah, Jason Teh, 29-27, 19-21, 21-23 dalam masa 74 minit.

Sementara itu, Joo Ven pula ditunjukkan jalan keluar lebih awal selepas dijinakkan pemain dari Jerman, Max Weisskirchen 15-21, 11-21 dalam masa 37 minit.