KPDNHEP rampas 15,000 liter diesel, serbu stor haram

KPDNHEP Negeri Sembilan serbu stor haram simpan diesel bersubsidi di Port Dickson. -Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
KPDNHEP Negeri Sembilan serbu stor haram simpan diesel bersubsidi di Port Dickson. -Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu sebuah stor haram disyaki dijadikan tempat kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Jambu, Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson, pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, serbuan kira-kira jam 1.15 petang itu menjumpai dua lori tangki di perkarangan kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Ia berikutan terdapat hos-hos bagi kerja-kerja pemindahan diesel daripada tangki lori tersebut. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 15,000 liter minyak diesel dalam kedua-kedua lori tangki itu

"Semakan awal juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bagaimanapun, tiada suspek atau individu yang bertanggungjawab ditemui di tempat kejadian semasa serbuan dijalankan.

"Hasil serbuan ini, sebanyak 15,000 liter diesel, dua buah lori tangki dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel telah disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM92,250.

"Tindakan kes ini adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan selama satu minggu oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran serbuan.

"Maklumat awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar enam bulan," katanya.

Abd Muis berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

"Pihak KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan minyak diesel di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket ini.

"Kami juga menegaskan dan menasihatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP di dalam jalan perniagaan dan perdagangan masing-masing.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian antaranya melalui portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my), call centre 1 800 886 800 atau WhatsApp 019-2794317," katanya.