Tabung Pahlawan: Sasar kutip RM50,000 tahun ini

Samsudin (kiri) menerima replika cek daripada Mohd Haffiz bernilai RM5,000 bagi sumbangan untuk Tabung Pahlawan Peringkat Daerah Muar.
Samsudin (kiri) menerima replika cek daripada Mohd Haffiz bernilai RM5,000 bagi sumbangan untuk Tabung Pahlawan Peringkat Daerah Muar.
A
A
A

MUAR - Sebanyak 29 Tabung Pahlawan kini diedarkan di semua jabatan dan agensi kerajaan di daerah ini.

Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Muar, Samsudin Rais berkata, pengedaran tabung itu dilaksanakan sebagai alternatif membantu kebajikan pejuang dan waris yang menghadapi kesukaran.

Katanya, bagi tahun ini, beliau mensasarkan jumlah kutipan sehingga RM50,000 dalam usaha memberikan manfaat kepada lebih 100 penerima.

“Kita sasarkan jumlah pesara tentera yang layak memperoleh manfaat ini adalah 80 orang . Angka penerima ini meningkat berbanding 67 pesara sebelum ini. Jumlah wang tunai yang akan disumbangkan adalah RM400 setiap seorang.

“Manakala bagi anak pesara yang bergelar orang kurang upaya (OKU) pula meliputi 37 penerima berbanding 31 orang tahun lalu. Selain itu, balu pesara tentera juga membabitkan enam orang daripada lima orang sebelum ini. Kesemua mereka dianggarkan menerima bantuan bernilai RM200 hingga RM300 seorang,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, menurut beliau, dalam usaha merealisasikan hasrat ini, orang ramai diseru untuk sama-sama menyumbang ke Tabung Pahlawan yang diletakkan di semua agensi dan pejabat kerajaan di Muar.

"Melalui edaran tabung ini, kita berharap agar sumbangan disalurkan dapat membantu bekas-bekas prajurit yang rata-ratanya kini terlantar atas faktor masalah kesihatan, kekangan sumber pendapatan serta pelbagai lagi bentuk bantuan lain untuk golongan ini.

"Kutipan bermula hari ini (kelmarin) akan berakhir pada 26 Disember nanti. Kita harapakn sokongan semua pihak kerana pelancaran tabung ini memang sudah diadakan pada setiap tahun. Malah ini juga sebagai mengenang jasa pahlawan terdahulu yang berjuang untuk tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Majlis Kempen Tabung Pahlawan Peringkat Muar telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah, Mohd Haffiz Ahmad di Pejabat Daerah.

Pihak Pejabat Daerah sebelum itu turut memberikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada tabung berkenaan.