98 siswazah cemerlang di Negeri Sembilan terima imbuhan

Mohamad Rafie (kanan) ketika menyampaikan penghargaan kepada siswazah terlibat pada Selasa.
Mohamad Rafie (kanan) ketika menyampaikan penghargaan kepada siswazah terlibat pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) memperuntukkan RM629,000 bagi memberi imbuhan kepada 98 siswazah cemerlang kelas pertama termasuk hapus kira pinjaman pendidikan YNS terhadap sembilan siswazah.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kesemua siswazah cemerlang itu menerima wang tunai RM5,000 melibatkan perbelanjaan RM490,000.

"Mereka terdiri daripada 91 graduan dari institut pengajian tinggi awam (IPTA), empat graduan dari Mesir, dua graduan dari United Kingdom dan seorang dari New Zealand.

"Sembilan daripada pelajar berkenaan mendapat hapuskira pinjaman pendidikan bernilai RM139,000," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri 3, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, Yayasan Negeri Sembilan turut mengagihkan bantuan kira-kira 500 komputer riba kepada mahasiswa B40 melibatkan peruntukan RM1.3 juta.

"Ia bagi meneruskan agenda pendidikan berterusan dan memastikan kesinambungan kecemerlangan pelajar. Segala keuntungan dan pendapatan yang dijana Yayasan Negeri Sembilan dikembalikan semula untuk kepentingan pendidikan anak negeri.

"Semoga bantuan ini akan memberikan lonjakan semangat kepada 200 orang pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan 300 orang mahasiswa untuk fokus belajar dan berjaya sebagaimana abang-abang dan kakak-kakak mereka yang menerima anugerah hari ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad Rafie turut memberitahu kilang produk Aeroangkasa Turkiye bakal dibina di Labu di sini seluas 130 hektar membabitkan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (Malaysia Vision Valley-MVV 2.0).

Beliau, berkata projek itu dijangka akan mula dibangunkan awal tahun depan.

"Baru-baru ini Negeri Sembilan melalui NS Corporation telah menjalinkan kerjasama dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) bagi pembangunan Lembah NSAV serta Lembah Kenderaan Tanpa Pemandu (UVV) di negeri ini.

"Ia membabitkan pembangunan UVV yang menempatkan kilang pembuatan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), Kenderaan Permukaan Tanpa Pemandu (USV), Kenderaan Dalam Air Tanpa Pemandu (UUV) dan Kenderaan Darat Tanpa Pemandu (UGV)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Siri 3 2022 di sini pada Selasa.

Menurut Mohamad Rafie, pada peringkat awal seramai 100 jurutera tempatan akan dilatih di Turkiye sebelum jumlah bertambah apabila projek berkenaan dapat dimulakan pada awal tahun hadapan.

Pada 7 Julai lepas, lima Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di Istana Presiden Turkiye di Ankara yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Turkiye yang membabitkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara termasuklah pembangunan NSAV di Negeri Sembilan.