Reman lima suspek penipuan pakej haji disambung

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
A
A
A

SHAH ALAM - Reman terhadap lima suspek termasuk seorang pemilik agensi pelancongan swasta yang disyaki terlibat kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji melibatkan 380 bakal jemaah disambung sehari sehingga Rabu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam berkata, tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek berkenaan tamat pada Selasa dan disambung untuk melengkapkan siasatan.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

"Reman yang sepatutnya tamat hari ini disambung sehari sehingga esok,” katanya ringkas.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan lima suspek tersebut diserahkan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk membantu siasatan berhubung laporan daripada mangsa di Selangor.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara sekitar jam 9 malam oleh polis Kuala Lumpur pada Jumaat.

Selain sepasang suami isteri pemilik syarikat berkenaan, mereka yang ditahan dipercayai pekerja dan ejen syarikat pelancongan berkenaan.

Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.